×

DAPATKAN SUPPORT KAMI MELALUI:

1Tel: 03-5523 2354.
2SMS/WhatsApp: 011-6487 8701.
3Emel: support@bijakwang.my

Jika anda masih menghadapi masalah, sila tinggalkan pesanan melalui BORANG MAKLUMBALAS di sini. Terima kasih.

WAKTU URUSAN PEJABAT

Isnin-Jumaat 9:00AM - 5:00PM
Sabtu & Ahad - Lihat Jadual Aktiviti - Sila KLIK!

FORGOT YOUR DETAILS?

CREATE ACCOUNT

BAB 2Asas Meminjam

Hari ini, dengan adanya pelbagai kemudahan pinjaman dan kad kredit yang ditawarkan oleh institusi kewangan, anda mungkin terpengaruh untuk berbelanja lebih daripada apa yang sepatutnya dengan meminjam.

Melalui pinjaman, anda boleh membeli rumah, membeli kereta, membayar bil, malah juga boleh melancong.

Walaupun pinjaman adalah berguna, terutamanya apabila anda ingin membeli sesuatu yang memerlukan wang yang banyak, anda juga harus ingat bahawa pinjaman yang diambil itu bukannya percuma. Sebaliknya pinjaman tersebut perlu dibayar balik dengan caj faedah atau bayaran penalti jika anda gagal atau terlewat bayar!

Anda diberi satu kad kredit dengan had kredit sebanyak RM3,000.

Jika anda telah membelanjakan RM1,000 dengan kad kredit tersebut, maka RM1,000 kredit yang telah digunakan itu akan menjadi hutang.

SEBELUM : RM3,000 kredit sedia ada

SELEPAS : RM2,000 baki kemudahan kredit RM1,000 jumlah hutang

KREDIT DAN HUTANG


Kredit adalah kemudahan pinjaman dengan persetujuan untuk membayar balik mengikut syarat dan terma perjanjian pinjaman yang telah ditetapkan.

Apabila anda meminjam, anda diberikan kemudahan kredit dan sekiranya anda menggunakan kredit tersebut maka anda dikatakan berhutang. Hutang adalah wang yang telah dipinjam dan mesti dibayar balik.

KENAPA ANDA MEMINJAM?

Apabila anda ingin meminjam, anda perlu tahu apakah tujuan pinjaman tersebut. Ingat, anda sepatutnya meminjam untuk memenuhi keperluan dan bukannya kehendak anda.

Sekiranya anda ingin mengambil pinjaman atau menggunakan kad kredit untuk membeli sesuatu, tanya diri anda soalan yang berikut terlebih dahulu:

  • Adakah barangan atau perkhidmatan yang saya ingin beli itu suatu keperluan ataupun kehendak
  • Adakah saya mampu membayar ansurannya?
  • Jika barangan tersebut merupakan suatu pembelian besar, seperti membeli rumah atau kereta, bolehkah saya menyediakan wang pendahuluan yang lebih tinggi?

Memiliki pengetahuan asas tentang peraturan meminjam boleh membantu anda dalam mengurus pinjaman anda dengan baik.

PERATURAN MEMINJAM


Pinjam hanya untuk tujuan produktif atau untuk sesuatu yang amat diperlukan apabila anda tidak mempunyai wang tunai yang cukup. Ini termasuk pembelian rumah, pembelian kereta, menghantar anak melanjutkan pelajaran atau menampung perbelanjaan pada waktu kecemasan.

Pinjam mengikut kemampuan. Sebaik-baiknya buatlah pinjaman yang membolehkan anda membayar balik dengan selesa. Adalah disarankan jumlah pembayaran bulanan semua hutang tidak melebihi 40% pendapatan kasar anda.

Seorang peminjam mempunyai tanggungjawab moral untuk membayar balik pinjaman. Harus ingat, penilaian kredit anda akan terjejas jika anda tidak membayar balik mengikut terma pembayaran.

Berikut adalah beberapa contoh hutang produktif dan hutang tidak produktif:

Seperti yang dijelaskan di atas, pinjaman untuk tujuan yang munasabah boleh membantu meningkatkan nilai harta bersih anda. Setelah mengetahui kenapa dan bila anda harus meminjam, seterusnya marilah kita lihat sumber pinjaman yang ditawarkan.

SUMBER MENDAPATKAN PINJAMAN

Di Malaysia terdapat pelbagai institusi kewangan yang menyediakan kemudahan pinjaman. Berikut adalah sumber pemberi pinjaman utama:

  • Institusi Kewangan Berlesen

Institusi kewangan berlesen merangkumi bank perdagangan yang dilesenkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menyediakan kemudahan kredit kepada orang ramai. Anda dinasihatkan supaya mendapatkan pinjaman daripada institusi kewangan berlesen kerana terdapatnya undang-undang dan peraturan yang melindungi hak anda sebagai peminjam.

Untuk mendapatkan senarai penuh institusi kewangan berlesen, sila layari laman web BNM di www.bnm.gov.my

  • Koperasi

Koperasi adalah dikawal selia oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan. Ahli koperasi boleh meminjam dari koperasi mereka berdasarkan kelayakan dan kriteria yang telah ditetapkan oleh pengurusan koperasi masing-masing.

  • Peminjam Wang Berlesen

Peminjam wang berlesen dilesenkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk menawarkan pinjaman kepada orang ramai. Berbeza dengan institusi kewangan berlesen, peminjam wang berlesen tidak boleh menerima deposit dan biasanya kadar faedah pinjaman yang dikenakan adalah lebih tinggi. Anda dinasihatkan supaya menyemak terlebih dahulu kadar pinjaman mereka sebelum membuat pinjaman.

  • Peminjam Wang Tidak Berlesen

Peminjam wang tidak berlesen beroperasi secara haram dan mereka dikenali sebagai ‘Lintah Darat’ atau ‘Ah Long’. Mereka menawarkan pinjaman tanpa cagaran pada kadar faedah yang sangat tinggi, dengan terma dan syarat yang ketat dan tidak jelas. Mereka juga sering menggunakan ancaman dan kekerasan terhadap peminjam yang tidak dapat membayar balik pinjaman mereka. Anda dinasihatkan supaya tidak meminjam daripada peminjam wang yang tidak berlesen.

PERBANKAN ISLAM

Perbankan Islam adalah sistem perbankan yang dilesenkan oleh BNM dan berasaskan prinsip Shariah (hukum Islam) yang mengharamkan Riba (pengumpulan dan pembayaran faedah), Usury (tindakan atau amalan meminjamkan wang pada kadar faedah yang amat tinggi), perdagangan yang mempunyai risiko kewangan (opsyen dan pasaran hadapan) dan usaha niaga yang haram (dilarang).

Tujuan perbankan Islam adalah sama seperti perbankan konvensional. Bezanya adalah operasi perbankan Islam menjalankan transaksi mengikut peraturan Shariah yang dikenali sebagai Fiqh al-Muamalat. Prinsip asas perbankan Islam adalah perkongsian untung dan rugi dan larangan riba. Antara konsep Islam yang biasa digunakan dalam perbankan Islam adalah perkongsian (Mudharabah), simpanan (Wadiah), perkongsian untung rugi (Musharakah), perjanjian jual beli (Murabahah) dan pajakan (Ijarah).

Perbankan Islam di Malaysia dipantau oleh Majlis Penasihat Shariah yang ditubuhkan oleh BNM. Di samping itu, perbankan Islam dan perbankan konvensional yang menawarkan produk dan perkhidmatan perbankan Islam perlu menubuhkan jawatankuasa penasihat Shariah masing-masing atau melantik perunding penasihat dan memastikan bahawa operasi, kegiatan dan produk bank mematuhi prinsip Shariah.

Di sebalik tanggapan sesetengah orang, perbankan Islam sebenarnya adalah untuk semua orang tanpa mengira agama mereka

APA YANG DIAMBIL KIRA OLEH INSTITUSI KEWANGAN?

Apabila anda memohon kad kredit, pinjaman peribadi atau lain-lain pinjaman, institusi kewangan akan menilai sama ada anda mempunyai risiko kredit yang baik ataupun tidak. Sewaktu membuat penilaian risiko kredit, institusi kewangan tersebut akan mengambil kira keupayaan peminjam untuk memenuhi kewajipan pembayaran balik. Penilaian risiko ini juga akan menentukan kadar faedah dan kos-kos lain untuk pinjaman tersebut.

3 FAKTOR ASAS MEMINJAM


NISBAH HUTANG KEPADA PENDAPATAN

Nisbah hutang kepada pendapatan menunjukkan jumlah pembayaran balik bulanan semua pinjaman berbanding dengan jumlah pendapatan kasar bulanan anda. Nisbah yang tinggi menunjukkan seseorang itu tidak mempunyai wang yang cukup untuk menampung perbelanjaan bulanannya.

Sebagai panduan am, jumlah pembayaran balik bulanan bagi semua pinjaman termasuk hutang kad kredit tidak boleh melebihi 40% daripada pendapatan kasar anda

Kita lihat contoh kiraan nisbah hutang kepada pendapatan dengan melihat kedudukan kewangan Encik Daud:

Seperti mana yang anda boleh lihat, nisbah hutang kepada pendapatan adalah lebih daripada nisbah yang disarankan. Dalam keadaan seperti ini, Encik Daud harus berusaha untuk mengurangkan nisbah tersebut.

Jadi bagaimanakah caranya untuk mengurangkan nisbah hutang kepada pendapatan anda?

Nisbah ini boleh diperbaiki dengan cara mempertingkatkan tahap pendapatan dan/atau mengurangkan komitmen pinjaman anda.

Anda dinasihatkan agar tidak terlalu memikul hutang yang banyak dan menggunakan kad kredit secara berlebihan. Ini kerana ia akan memberi kesan kepada nisbah hutang kepada pendapatan dan mungkin menjejaskan kelayakan kredit anda di masa hadapan.

MENJADI SEORANG PENJAMIN

Apabila kedudukan kredit seseorang diragui, pihak pemberi pinjaman biasanya akan meminta peminjam menyediakan penjamin untuk menjamin pinjaman tersebut.

Penjamin bukanlah peminjam utama. Walau bagaimanapun, penjamin dipertanggungjawabkan atas baki pinjaman yang belum dibayar termasuk faedahnya sekali sekiranya peminjam utama gagal membuat bayarannya.

Jaminan ke atas pinjaman yang telah diambil akan terus berkekalan sehinggalah kesemua hutang peminjam dilangsaikan.

Tanggungjawab penjamin tidak akan dilepaskan tanpa penyelesaian penuh pinjaman atau tanpa kebenaran daripada pemberi pinjaman terlebih dahulu.

PENJAMIN TIDAK TERJAMIN


Usia                               : 28 tahun

Pekerjaan                     : Jurutera

Status Perkahwinan  : Bujang

Sam dan Ling telah menjalin hubungan semenjak mereka belajar di kolej lagi. Selepas beberapa tahun berpacaran, Ling telah meminta Sam untuk menjadi penjamin kepada pinjaman sewa beli kereta barunya. Tanpa berfikir panjang, Sam bersetuju kerana dia sedang dilamun cinta dan mengharapkan cintanya dibalas.

Sebelum menandatangani borang penjamin, Sam tidak mendapatkan sebarang nasihat atau pandangan orang lain. Apa yang penting bagi Sam ialah cinta Ling dan dia yakin tidak lama lagi mereka akan mendirikan rumah tangga. Lagipun, Ling telah berjanji akan membayar ansurannya dengan teratur.

Selang beberapa bulan kemudian, ansuran pinjaman sewa beli Ling sudah mula tertunggak. Sam, seperti yang telah dijangkakan, sekali lagi termakan dengan pujuk rayu Ling dan menolong Ling membayar ansuran pinjaman tersebut sehinggalah pada suatu hari Sam mengetahui bahawa Ling sebenarnya telah bertunang dengan orang lain. Kerana terlalu kecewa dengan perbuatan Ling, Sam membawa hati lukanya dengan berpindah ke tempat lain, malah Sam juga telah beberapa kali bertukar kerja.

Oleh kerana Ling gagal membuat bayaran pinjaman sewa belinya, pihak institusi kewangan telah menarik balik dan melelong keretanya. Baki yang perlu dijelaskan selepas lelongan adalah sebanyak RM45,000. Apabila Ling tidak mampu membayar jumlah kerugian ini, pihak institusi kewangan telah mengemukakan notis tuntutan ke atas Sam selaku penjamin. Sam juga tidak boleh membayarnya kerana jumlah yang terlibat adalah terlalu besar baginya. Pihak insititusi kewangan mula mengambil tindakan mahkamah terhadap Sam untuk menuntut balik kesemua baki hutang mereka. Oleh kerana terlalu bimbangkan tentang masa depannya, Sam telah bertindak dengan mendapatkan bantuan AKPK.

KESAN KADAR FAEDAH

Faedah ialah caj yang dikenakan ke atas wang yang dipinjam atau keuntungan yang diperoleh daripada wang yang didepositkan. Kadar faedah yang dikenakan atas pinjaman adalah ukuran risiko yang diambil oleh pemberi pinjaman. Semakin tinggi risikonya, maka semakin tinggilah kadar faedah yang dikenakan.

Biasanya, ada 3 jenis kadar faedah yang terdapat di pasaran. Ini termasuk:

TOP
>