×

DAPATKAN SUPPORT KAMI MELALUI:

1Tel: 03-5523 2354.
2SMS/WhatsApp: 011-6487 8701.
3Emel: support@bijakwang.my

Jika anda masih menghadapi masalah, sila tinggalkan pesanan melalui BORANG MAKLUMBALAS di sini. Terima kasih.

WAKTU URUSAN PEJABAT

Isnin-Jumaat 9:00AM - 5:00PM
Sabtu & Ahad - Lihat Jadual Aktiviti - Sila KLIK!

FORGOT YOUR DETAILS?

CREATE ACCOUNT

Islam, Ekonomi dan Harta Kekayaan

 

Setiap masyarakat mempunyai sistem ekonominya sendiri, yang tergambar di dalamnya falsafah, akidah, sistem nilai serta pandangannya terhadap individu dan masyarakat, terhadap harta dan fungsinya, persepsinya tentang agama dan dunia, kekayaan dan kemiskinan. Sehingga kesemuanya itu mempengaruhi produktiviti, kekayaan dan cara untuk memperoleh, pengagihan dan penyimpanannya. Dari sinilah munculnya sistem perekonomian.

Pembicaraan tentang ekonomi Islam adalah suatu yang panjang. Berbagai teori telah disusun dan ditulis mengenai ekonomi Islam dalam pelbagai bentuk penulisan dan beraneka ragam. Ratusan dan ribuan risalah (disertasi) ilmiah telah diajukan bagi memperoleh gelaran Sarjana dan Doktor Phd di dalam bidang ini.

Maka di sini cukuplah bagi kita untuk mengambil suatu pengetahuan asas mengenai prinsip-prinsip utama yang menjadi teras kepada pembentukan sistem perekonomian dalam masyarakat Islam. Di antara prinsip utama dan terpenting mengenai ekonomi dan harta kekayaan dalam Islam adalah seperti berikut:

  • Harta adalah hakmilik mutlak Allah SWT, manakala manusia hanyalah sebagai pemegang amanah bagi menguruskan harta-harta tersebut.
  • Namun begitu, hakmilik peribadi manusia dalam menguruskannya di dunia ini tetap diakui dan dilindungi.
  • Harta dinilai sebagai suatu kebaikan dan kenikmatan jika ianya berada di tangan orang-orang soleh.
  • Dakwah bagi mewujudkan etika kerja yang baik adalah merupakan ibadah dan jihad.
  • Pemilikan harta dengan cara kerja yang salah dan kotor adalah haram.
  • Dilarang bagi seseorang untuk menguasai sesuatu harta yang sangat diperlukan oleh masyarakat.
  • Pemilikan harta yang membahayakan orang lain adalah dilarang.
  • Pengembangan harta tidak boleh membahayakan akhlak dan mengorbankan kepentingan umum.
  • Ekonomi Islam harus berpaksi kepada prinsip keadilan sosial bagi mewujudkan kesejahteraan ummah.
  • Wajibnya saling membantu dan tolong-menolong di antara anggota masyarakat.
  • Mengurangkan jurang perbezaan di antara yang kaya dan miskin di dalam masyarakat.

KONSEP AL-MAL (HARTA) DALAM ISLAM

PENGENALAN

Kehidupan manusia memerlukan harta untuk kemudahan dan mengelakkan kesusahan. Namun harta bukanlah segala-galanya bagi hidup ini. Cinta manusia kepada harta merupakan salah satu fitrah. Islam menetapkan harta sebagai perhiasan hidup. Islam menggalakkan umatnya mencari harta kekayaan. Memiliki harta memudahkan untuk beribadah. Islam memuliakan orang kaya. Kemiskinan boleh membawa kekufuran.

DEFINISI AL-MAL

Perkataan al-Mal dalam bahasa Arab ialah harta iaitu sesuatu yang boleh dimiliki oleh individu atau kumpulan manusia seperti barangan berharga, aset, tanah, rumah, bangunan, tumbuh-tumbuhan, galian, wang dan haiwan. Beberapa sarjana mendefinisikan al-Mal.

Abdul Karim Zaydan menjelaskan al-Mal sebagai "Setiap yang boleh didapatkan (dikuasai) dan dimanfaatkan dalam keadaan biasa”.

Mohd Akram mendefinisikannya sebagai "Sesuatu yang boleh disimpan atau dipegang untuk digunakan pada masa yang diperlukan”.

Menurut Muhammad Kamal Attiyah, al-Mal ialah "Apa yang dikehendaki oleh jiwa dan dicintainya”.

KEDUDUKAN AL-MAL (HARTA) DALAM ISLAM

Semua harta di dunia ini adalah milik Allah. Manusia tidak memiliki harta secara mutlak. Sebaliknya kerajaan boleh membuat peraturan mengenai pemilikan dan penggunaan harta.

"Segala yang ada di langit dan di bumi adalah kepunyaan Allah”. (al-Baqarah: 284)

Manusia sebagai pemegang amanah. Manusia tidak boleh menganggu hak milik orang lain. Ia bertanggungjawab terhadap apa yang diperolehi dan apa yang dibelanjakan. Manusia perlu menggunakan harta dengan sebaik mungkin mengikut ketentuan syarak. Harta adalah ujian dari Allah untuk manusia. Harta perlu digunakan ke jalan Allah.

Semua harta di dunia ini adalah untuk manusia. Manusia perlu menggunakan harta sebaik mungkin dan elakkan dari melakukan kerosakan.

Harta dianugerahkan kepada manusia tidak sama antara satu sama lain. Harta diperolehi dengan usaha, bekerja keras, bantu membantu dan berperancangan. Harta dijadikan untuk menguji keimanan manusia. Ramai penghuni syurga dari kalangan orang miskin dan ramai penghuni neraka adalah orang kaya.

Harta yang disediakan Allah kepada manusia adalah banyak dan cukup untuk manusia. Ketidakcukupan berlaku kerana ketamakan dan pembaziran.

Cara memperolehi harta yang halal ialah dengan melibatkan diri dalam aktiviti ekonomi seperti bekerja sendiri dan makan gaji. Ia juga boleh diperolehi melalui pensyariatan agama seperti nafkah, pusaka, wasiat, zakat. Turut diperolehi melalui pemindahan seperti jual beli, hutang, pemberian, mas kahwin. Malah melalui bantuan orang lain seperti individu, masyarakat dan juga kerajaan.


KONSEP PEMILIKAN HARTA DALAM ISLAM

Islam memberi kebebasan kepada individu dan masyarakat memulakan, menyusun, mengurus dan memiliki apa sahaja mengikut keupayaan seseorang. Islam juga mengiktiraf hak milik peribadi dan umum serta negara asalkan tidak menceroboh hak orang lain dan memiliki sesuatu yang halal menjauhi yang haram.

Ini bersesuaian dengan fitrah manusia yang sukakan kekayaan harta. Pemilikan sebagai motivasi kepada manusia supaya berusaha lebih gigih untuk mendapatkan seberapa banyak harta yang boleh.

DEFINASI PEMILIKAN

Pemilikan (al-milk) berasal dari bahasa Arab dari akar kata "malaka" yang bererti penguasaan seseorang terhadap sesuatu atau memiliki hak untuk memiliki sesuatu atau mampu bertindak ke atas sesuatu itu secara mutlak. Ia juga biasa disebut dengan hak milik atau milik sahaja.

Para ahli fiqh mendefinisikan hak milik (al-milk) sebagai

”Kekhususan seseorang terhadap harta yang diakui syari’ah, sehingga menjadikannya mempunyai kekuasaan khusus terhadap suatu harta tersebut, baik memanfaatkan dan atau mentasharrufkannya”.

Secara terminology, ada beberapa definisi Al Milk (hak milik) yang dikemukakan oleh para fukaha, di antaranya:

Wahbah al-Zuhaily mendifinisikan al-milk sebagai:

“Hak milik ialah suatu kekhususan terhadap sesuatu harta yang menghalangi orang lain dari harta tersebut. Pemiliknya bebas melakukan tasharruf kecuali ada halangan syar’iy”. (Wahbah al-Zuhaily, Al-Fiqh al-Islamy wa Adillatuhu, Juz IV, hlm.37)

Muhammad Abu Zahro mendefinisikannya sebagai berikut :

“Hak milik ialah suatu kekhususan terhadap sesuatu harta yang menghalangi orang lain dari harta tersebut dan memungkinkan pemiliknya bebas melakukan tasharruf kecuali ada halangan syar’iy”. (Muhammad Abu Zahroh, Al-Milkiyyah wa Nazhariyatul al’Aqd fi al-Syari’ah al-Islamiyyah, Mesir dar al-Fikri al-‘Araby, 1962, hlm. 15.)

Seseorang yang telah memiliki harta boleh memanfaatkannya, menjual atau membelanjakannya mengikut keperluannya atau kehendaknya. Pemilikan adalah dalam bentuk benda (ain) ataupun manfaat. Pemilikan ini menegah pihak lain dari melibatkan diri  kecuali atas kebenaran pemiliknya atau halangan syarak. Seseorang yang memiliki sesuatu harta; boleh memanfaatkannya, menjual atau membelanjakannya. Pemilikan sebagai pemegang amanah.

KONSEP DASAR PEMILIKAN

“Kepunyaan Allahlah kerajaan di langit dan di bumi dan apa yang ada di dalamnya, dan Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu” (Al Maidah : 120)

Ayat di atas merupakan landasan dasar tentang kepemilikan dalam Islam. Ayat di atas menunjukan bahawa Allah adalah pemilik tunggal apa-apa yang ada di langit dan di bumi dan tidak ada sekutu bagiNya. Lantas Allah memberikan atau mengurniakan kekuasaan bumi pada manusia, agar manusia mengurus dan memakmurkannya.

“Dan berikanlah kepada mereka, harta (milik) Allah yang telah Dia berikan kepada kalian.”(QS. An-Nuur : 33)

“Dan nafkahkanlah apa saja yang kalian telah dijadikan (oleh Allah) berkuasa terhadapnya. “(QS. Al-Hadid : 7)

“Dan (Allah) membanyakkan harta dan anak-anakmu.” (QS. Nuh : 12)

Dari sinilah kita temukan, bahwa ketika Allah SWT menjelaskan tentang status asal kepemilikan harta kekayaan tersebut, Allah SWT menyandarkan kepada diri-Nya, di mana Allah SWT menyatakan “Maalillah” (harta kekayaan milik Allah). Sementara ketika Allah SWT menjelaskan tentang perubahan kepemilikan kepada manusia, maka Allah menyandarkan kepemilikan tersebut kepada manusia. Di mana Allah SWT menyatakan dengan firman-Nya:

“Maka berikanlah kepada mereka harta-hartanya. “(QS. An-Nisaa` : 6)

“Ambillah dari harta-harta mereka. “(QS. Al-Baqarah : 279)

“Dan harta-harta yang kalian usahakan.” (QS. At-Taubah : 24)

“Dan hartanya tidak bermanfaat baginya, bila ia telah binasa.” (QS. Al-Lail :11)

Ayat-ayat di atas menunjukkan bahwa hak milik yang telah diserahkan kepada manusia (istikhlaf) tersebut bersifat umum bagi setiap manusia secara keseluruhan. Sehingga manusia memiliki hak milik tersebut bukanlah sebagai pemilikan bersifat mutlak. Sebab pada dasarnya manusia hanya diberi kesempatan untuk menguasai hak milik tersebut. Oleh karena itu agar manusia benar-benar memiliki harta kekayaan (hak milik), maka Islam memberikan syarat iaitu harus mendapat izin dari Allah SWT kepada orang tersebut untuk memiliki harta kekayaan tersebut. Oleh karena itu, harta kekayaan tersebut hanya boleh dimiliki oleh seseorang apabila orang yang bersangkutan mendapat izin dari Allah SWT untuk memilikinya.


HARTA DAN PENGGUNAANNYA DALAM ISLAM

Allah SWT mengizinkan umat manusia untuk menikmati apa yang baik di dunia ini. Dicatatkan di dalam Al-Quran:

Ertinya: "Dialah yang menjadikan bumi itu mudah bagi kamu, maka berjalanlah di segala penjurunya dan makanlah sebahagian dari rezeki-Nya. Dan hanya kepada-Nya-lah kamu (kembali setelah) dibangkitkan." (Al-Mulk: 15)

Oleh kerana itu, umat Islam perlu menyedari dan merasai bahawa setiap kali mereka berniaga, bertani dan berusaha keras di dalam kerjaya halal, sebenarnya mereka sedang melaksanakan ayat Allah SWT yang disebut di atas tadi. Ia sekaligus menambah amalan soleh yang dengannya mampu menghampir diri kepada Allah SWT.

Mengehadkan amalan soleh kepada perilaku ibadat khusus seperti zikir, solat, umrah, haji, sedekah dan lain-lain ibadah khusus adalah tidak tepat. Jika diselami erti ayat di atas, ia membuktikan bahawa berusaha dan memeriahkan dunia dengan kerjaya dan perniagaan yang bermanfaat lagi halal adalah sebahagian daripada ibadat selagi menuruti syarat-syarat kerjaya yang ditetapkan Allah SWT dan RasulNya.

Islam telah meletakkan prinsip yang amat jelas dan terang dalam setiap urusan pemerolehan harta agar prosesnya tidak menzalimi pihak lain secara sedar atau tidak sedar.

Pada masa yang sama Nabi SAW mengingatkan kita bahawa:

Ertinya: "Sesungguhnya bagi setiap umat itu cabaran dan ujian, dan ujian bagi umatku adalah harta." (Riwayat At-Tirmizi, no 2337; Ibn Hibban, Al-Hakim: Sohih menurut Al-Hakim dan disepakati Az-Zahabi. Hasan menurut Tirmidzi).

Al-Qaradawi mengatakan, godaan harta bukan pada mengumpul dan mendapatkannya melalui cara yang halal dan menjaga kewajipan agama, tetapi adalah dalam kegilaan mendapatkannya, mencarinya dan menyimpannya walaupun daripada jalan yang haram. Selain itu, ia juga tidak endah untuk membelanjakannya walaupun dengan cara yang haram asalkan berbaloi menurut akalnya, tiada pertimbangan halal dalam hatinya.

Sebagaimana yang digambarkan oleh Allah, salah satu tanda kehilangan keberkatan dalam perolehan harta adalah:

Ertinya: "Kerana dia meinpunyai (banyak) harta dan anak, lalu apabila dibacakan kepadanya ayat-ayat Kami, is berkata: (Iii adalah) dongeng_ dongengan orang-orang dahulu kala." (Al-Qalam: 14-15)

Inilah sikap kebanyakan hartawan dan jutawan Muslim (yang bukan Muslim sudah tentu bukan fokus kita) di seluruh dunia. Apabila mereka berada di puncak kekayaan, ramai di antara mereka tidak memberi kepentingan kepada unsur keberkatan, halal, peraturan dan hukum yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Kerap kali mereka anggap perbincangan seperti ini adalah kuno dan ketinggalan zaman.

Allah SWT menegaskan:

Ertinya: "Harta dan anak-anak adalah perhiasan kehidupan dunia tetapi amalan-amalan yang kekal lagi soleh adalah lebih baik pahalanya di sisi Tuhanmu serta lebih baik untuk menjadi harapan." (Al-Kahfi : 46)

Menurut Syeikh Ibn Asyur, ayat daripada surah Al-Kahfi di atas mengingatkan kita betapa perlunya kita menyedari amal soleh, dan keberkatan adalah lebih perlu diutamakan daripada harta yang banyak tetapi tidak halal. Jadi dalam konteks ini, walaupun anda mendapat faedah pinjaman yang rendah di bank konvensional, ia bukanlah amal soleh kerana ia adalah riba yang haram.

Malangnya bagi umat Islam, apabila bercerita berkenaan perbankan Islam yang halal, yang paling diberikan perhatian 'mega' adalah kadarnya yang lebih mahal daripada konvensional. Tidak terlihat langsung akan elemen halal dan haram dalam minda dan hati. Padahal, menggagahkan diri menggunakan perbankan Islam walaupun lebih mahal sedikit berbanding konvensional adalah merupakan satu amal soleh yang amat terpuji dan dipandang oleh Allah SWT sebagaimana yang dinyatakan dalam ayat di atas.

Jika pertimbangan keduniaan menguasai diri, ia adalah suatu tanda dan bukti umat Islam sudah semakin hilang sensitiviti terhadap kebenaran alam barzakh dan akhirat. Padahal, tiada yang lebih zalim daripada sebuah bank yang menyediakan perkhidmatan haram riba, tidak kira semurah mana sekalipun tawaran mereka. Ia adalah kerana bank konvensional tersebut tetap menawarkan riba haram dan ia adalah amat zalim menurut hak Allah SWT walaupun amat menarik di sisi mata dan hati manusia. Allah SWT mengingatkan kita lagi bahawa:

Ertinya: "Perhatikanlah bagaimana Kami lebihkan sebahagian daripada mereka atas sebahagian (yang lain dalam perolehan harta). Dan pasti kehidupan akhirat lebih tinggi tingkatnya dan lebih besar keutamaannya." (Al Isra': 21)

Justeru itu, platform Bijak Wang akan cuba membantu masyarakat Islam dalam memahami beberapa sudut dalam praktis harian kewangan dan perbankan mereka, serta bakal mengupas beberapa prinsip Islam dalam urusan kewangan serta hubungkaitnya dengan realiti masyarakat dunia hari ini.

DAFTAR RUJUKAN

An Nabhani,Taqyudin, Sistem Ekonomi Alternatif Persfektif Islam, Surabaya, Risalah Gusti. 2009

Haroen, Nasrun, Fiqh Muamalah. Jakarta, Gaya Media Pratama. 2000  

Muhammad, Ekonomi Mikro dalam Persfektif Islam, Yogyakarta, BPFE-YOYAKARTA, 2004

Zaharuddin Abd Rahman, Wang, Anda & Islam, Halal dan Haram Dalam Kewangan dan Perbankan, True Wealth, 2008

TOP
>