×

DAPATKAN SUPPORT KAMI MELALUI:

1Tel: 03-5523 2354.
2SMS/WhatsApp: 012 2807903.
3Emel: support@bijakwang.my

Jika anda masih menghadapi masalah, sila tinggalkan pesanan melalui BORANG MAKLUMBALAS di sini. Terima kasih.

WAKTU URUSAN PEJABAT

Isnin-Jumaat 9:00AM - 5:00PM
Sabtu & Ahad - Lihat Jadual Aktiviti - Sila KLIK!

FORGOT YOUR DETAILS?

CREATE ACCOUNT

Jihad Ekonomi

Jihad Ekonomi

Islam sentiasa menganjurkan umatnya berusaha keras bagi mencapai kejayaan sama ada di dunia mahupun di akhirat. Walau bagaimanapun, anjuran ini nyata sekali berbeza dengan realiti umat Islam sekarang. Cabaran masa kini yang melanda umat Islam seluruh dunia menyaksikan bagaimana tiada lagi rasa hormat dan gerun sesetengah pihak pada Islam dan umatnya.

Salah satu punca utamanya adalah kita lemah dan ketinggalan daripada sudut material. Ini mencakupi soal ekonomi, sains dan teknologi serta sosiobudaya.

Ini terbukti apabila tidak ada satu pun negara Islam termasuk dalam kelompok negara-negara maju ataupun kuasa besar ekonomi dunia. Semuanya tergolong dalam kumpulan negara-negara membangun. Memburukkan lagi keadaan, hampir separuh negara Islam termasuk dalam kategori negara-negara miskin dan bergantung dengan sumber alam semula jadi sebagai punca ekonomi.

Akibat miskin, umat Islam terdedah kepada pelbagai bahaya. Sheikh Yusuf al-Qardawi menyebutkan kemiskinan itu mendatangkan bahaya kepada akidah, akhlak, akal, keturunan dan pada negara. Pada masa ini, semua bahaya-bahaya dan ancaman-ancaman kemiskinan melanda umat Islam.

Akibat miskin, kita ketinggalan dalam pelbagai bidang ilmu. Akibat miskin juga, umat Islam dilanda pelbagai krisis akhlak di mana isu rasuah misalnya, menjadi antara barah besar yang memakan moral orang Islam. Tidak cukup dengan itu, budaya dan gaya hidup Islam juga semakin terhakis dalam diri umat Islam kerana kita lebih senang dan mengagungkan budaya kuning. Budaya yang berteraskan hedonisme ini sedikit demi sedikit meresap ke dalam jiwa generasi umat Islam masa kini. Ini mengancam akidah.

Menyorot kembali kedudukan umat Islam masa kini yang semakin meruncing, tuntutan supaya bangkit dan kembali dihormati perlu menjadi agenda utama setiap individu Muslim. Maruah umat Islam wajib diangkat kembali seperti tingginya kedudukan Islam itu sendiri. Perjuangan dan persediaan untuk bangkit perlu dibuat daripada setiap sudut.

Perjuangan daripada aspek material adalah salah satu senjata penting dalam mengembalikan kekuatan masyarakat. Aspek ini perlu diberi perhatian oleh kita semua. Perkara paling asas di sini adalah setiap umat Islam perlu berusaha memperbaik diri dan keluarga masing-masing. Ringkasnya, umat Islam perlu kaya material. Pencapaian minima yang perlu disasarkan adalah supaya tidak menjadi golongan yang layak menerima zakat disebabkan kefakiran dan kemiskinan.

Penting ditegaskan di sini, kekayaan material yang hendak kita bina perlu ditegakkan atas asas spiritual dan rohani yang utuh. Ini penting bagi memastikan kekuatan jiwa seseorang itu tidak mudah hanyut oleh pesona keduniaan. Kekayaan material sahaja tanpa kekuatan spiritual dapat menghanyutkan manusia dalam kepalsuan dunia. Umat Islam perlu memiliki kedua-duanya kerana terdapat hubung kait antara kekuatan spiritual dan kekuatan material.

Keseimbangan antara keduanya perlu dicari dan buku ini diharapkan dapat menghuraikan sedikit sebanyak maksud ke-seimbangan itu dalam konteks kehidupan seorang individu Muslim yang hendak membina kekayaan atas seruan jihad. Jihad ekonomi menuntut kita menjadi kaya dan menggunakan kekayaan ini demi menegakkan Islam.

Bagi menjadi yang terbaik, setiap individu Islam perlu kaya spiritual dan materialnya. Islam tidak menghalang umatnya mencari kekayaan material. Malah, kita digalakkan berusaha memajukan diri dan keluarga.

Hal ini adalah kerana kekayaan material menyediakan jalan dan peluang yang lebih besar bagi kita mencapai kejayaan yang sebenarnya di akhirat. Dengannya kita dapat menunaikan kewajipan agama seperti membayar zakat, menunaikan haji, wakaf dan bersedekah. Kekuatan material juga menjadikan kita lebih dihormati terutamanya dalam dunia materialisme ini. Dengannya kita dapat melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti ekonomi secara aktif tanpa perlu bergantung pada sesiapa.

Walaupun begitu, Islam mengingatkan kita supaya tidak terpengaruh dengan materialisme. Materialisme adalah fahaman yang meletakkan objektif utama kehidupan demi mencapai kesenangan dan kejayaan material. Menurut ideologi ini, berjaya ataupun gagalnya seseorang itu dinilai berdasarkan kedudukan materialnya.

Semakin banyak harta seseorang itu, dia dianggap sebagai seorang yang berjaya. Bill Gates, Warren Buffett, Donald Trump dan ramai lagi pesonaliti yang bergelar bilionair adalah contoh mereka yang berjaya daripada segi material.

Melihat maksud kejayaan daripada perspektif material semata-mata adalah satu pemahaman yang sempit dan salah. Pemahaman sempit ini mencetuskan konflik antara tuntutan spiritual dan nafsu material. Akibatnya berlakulah kelompangan rohani dan keruntuhan moral dalam diri individu. Barah ini seterusnya membawa kepada goncangnya sistem nilai sesebuah masyarakat.

Islam menggariskan panduan lengkap dalam membimbing manusia ke arah mencapai kejayaan material. Ini supaya manusia tidak lemas oleh kemiskinan yang membawa kepada kekufuran. Hal ini juga supaya manusia tidak alpa oleh kekayaan yang membawa kepada keangkuhan.

Dalam usaha membina kehidupan dunia, nilai dan akhlak Islam perlu dijaga. Soal halal dan haram, kejujuran dan ketelusan, amanah, kesopanan dan adab, semuanya digariskan dalam Islam. Semua ini mengimbangi antara naluri manusia yang cintakan kekayaan dan tuntutan agama yang menekankan aspek kerohanian dan spiritual. Di sinilah letaknya keindahan dan kedinamikan agama Islam. Perkara inilah perlu kita capai dan usaha perlu bermula daripada peringkat individu lagi.


Sumber: Dipetik dari buku "Hidup Kaya Tanpa Riba" oleh Mohd Nahar Mohd Arshad, 2007

TOP