×

DAPATKAN SUPPORT KAMI MELALUI:

1Tel: 03-5523 2354.
2SMS/WhatsApp: 012 2807903.
3Emel: support@bijakwang.my

Jika anda masih menghadapi masalah, sila tinggalkan pesanan melalui BORANG MAKLUMBALAS di sini. Terima kasih.

WAKTU URUSAN PEJABAT

Isnin-Jumaat 9:00AM - 5:00PM
Sabtu & Ahad - Lihat Jadual Aktiviti - Sila KLIK!

FORGOT YOUR DETAILS?

CREATE ACCOUNT

Rezeki dari Perspektif Islam

Pengertian Rezeki

Konsep rezeki adalah satu konsep yang penting dalam Islam. Al-Razak adalah salah satu daripada 99 nama-nama agung Tuhan yang menunjukkan Tuhan itu maha memberi rezeki. Tuhan menjelaskan di dalam Quran surah az-Zariyat ayat 58 yang bermaksud,

"Sesungguhnya Allah, dia sahaja yang memberi rezeki kepada semua makhluknya dan dia sahaja yang mempunyai kekuasaan yang tidak terhingga, lagi maha kuat kekuasaannya."

Rezeki bermaksud limpah kurnia Tuhan kepada makhluk-makhluknya di mana dengan kurniaan itu semua makhluk mendapat manfaat yang baik. Bagi manusia, manfaat ini meliputi manfaat di dunia dan akhirat. Justeru, manfaat rezeki yang tertinggi adalah apabila rezeki yang diperoleh membuatkan seseorang itu semakin hampir dengan Tuhan. Dalam erti kata lain, manfaat ini memberikan kebaikan kepada seseorang dalam bentuk ketenangan rohani semasa hidupnya di dunia. Dengan rezeki itu juga dia berjaya masuk ke syurga Tuhan di akhirat kelak.

Rezeki bukan sahaja diberikan kepada manusia, tetapi juga kepada haiwan, tumbuh-tumbuhan dan semua makhluk hidup ciptaan Tuhan. Di dalam surah Hud ayat 6 Tuhan menyatakan,

"Dan tiadalah sesuatupun daripada makhluk-makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah juga yang menanggung rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat ia disimpan. Semuanya itu tersurat di dalam Kitab (Lauh mahfuz) yang nyata (kepada malaikat-malaikat yang berkenaan)."

Rezeki yang dikurniakan Tuhan kepada manusia adalah lebih istimewa berbanding rezeki yang dikurniakan kepada makhluk-makhluk lain kerana setiap ciptaan Tuhan di langit dan di bumi dijadikan khusus bagi kemudahan manusia. Ini diterangkan Tuhan dalam surah al-Israk ayat 70 yang bermaksud

“Dan sesungguhnya kami memuliakan anak-anak Adam dan kami beri mereka meng-gunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut. Kami memberikan rezeki kepada mereka daripada benda-benda yang baik-baik serta kami lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang kami ciptakan."

Semua keistimewaan dan kurniaan Tuhan ke atas manusia adalah selaras dengan peranan dan tanggungjawab yang diberikan Tuhan kepada manusia iaitu selaku hamba dan khalifahnya. Demi menjalankan tanggungjawab ini dengan berkesan, Tuhan memberikan rezeki kepada manusia dalam pelbagai bentuk seperti:

  1. Anak-anak, keluarga dan keturunan.
  2. Kesihatan tubuh badan.
  3. Ketinggian ilmu pengetahuan.
  4. Kekayaan harta benda.
  5. Hubungan sosial dan silaturahim.
  6. Kedudukan sosial dan pengaruh.
  7. Peluang keemasan dan kesempatan.
  8. Keselamatan daripada kemalangan dan bala bencana.
  9. Cita-cita yang tercapai dan hajat yang terlaksana.
  10. Terlepas daripada satu-satu beban.  

Bab ini secara khusus membincangkan mengenai konsep rezeki yang melibatkan harta kekayaan.

 

Konsep Rezeki Berkat

Hakikatnya, setiap rezeki yang dikurniakan Tuhan kepada manusia perlu diusahakan. Seperti kata pepatah, rezeki tidak datang bergolek. Walaupun Tuhan menetapkan setiap makhluk ciptaannya dengan kadar rezeki tertentu, ketentuan yang ditetapkan itu hanya berlaku berkadaran dengan usaha iaitu konsep qadak dan qadar. Oleh yang demikian, semakin rajin seseorang, secara fitrahnya, semakin banyak rezeki yang diperolehnya.

Anjuran supaya berusaha mencari rezeki kurniaan Tuhan banyak diterangkan di dalam Quran. Antaranya Tuhan menjelaskan dalam surah al-Jaathiyah ayat 12 yang bermaksud:

"Allah yang memudahkan laut bagi kegunaan kamu, supaya kapal-kapal belayar padanya dengan perintahnya dan supaya kamu mencari rezeki dari limpah kurnianya dan supaya kamu bersyukur."

Tuhan juga menjelaskan di dalam Quran surah al-Mulk ayat 15 yang bermaksud:

"Dialah yang menjadikan bumi bagi karnu mudah digunakan, maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah daripada rezeki yang dikurniakan Allah dan (ingatlah), kepada Allah jualah (tempat kembali kamu sesudah) dibangkitkan hidup semula (maka hargailah nikmatnya dan takutilah kemurkaannya)."

Dalam membincangkan soal usaha, pencarian rezeki perlu dibuat dengan usaha yang baik. Rezeki pada hakikat yang sebenarnya hanya datang menerusi usaha yang baik kerana pengurnia rezeki itu, al-Razak, cinta kepada perkara-perkara yang halal dan sahaja. Perkara ini dijelaskan dalam sebuah hadis yang dilaporkan oleh Ibn Majah dan al-Tabrani di mana  Nabi Muhammad berkata:

"Sesungguhnya roh al-Qudus datang kepada aku memberitahu seseorang itu tidak mati selagi tidak sempurna rezeki Allah kepadanya. Maka takutlah kepada Allah dan berusahalah dengan baik. Apabila rezeki itu lambat, jangan pula ia menjadi penyebab kepada kamu melakukan usaha mencari rezeki berbentuk maksiat kerana sesungguhnya rezeki Allah tidak dapat diperoleh melainkan dengan cara ketaatan."

Lantaran itu, konsep rezeki pada dasarnya tidak datang melalui perkara yang salah. Rezeki untuk manusia juga tidak wujud atas sesuatu benda yang haram ataupun aktiviti yang bercanggah dengan ajaran Islam. Menjadi satu perkara yang janggal apabila seorang pencuri berkata, "Aku mendapat rezeki yang banyak dengan mencuri." Ataupun janggal apabila seseorang Muslim berkata, "Rezekiku hari ini bertambah kerana aku mendapat 10 botol arak terbaik hadiah daripada kawanku."

Sedangkan, konsep rezeki itu sendiri membawa erti berkat. Rezeki yang berkat membawa banyak manfaat kepada seseorang. Manfaat rezeki yang diberkati dapat diperoleh di dunia juga di akhirat.

Anak-anak, kesihatan, ilmu pengetahuan, harta kekayaan dan kedudukan semuanya mendatangkan kebaikan di dunia dan akhirat apabila diusahakan dengan baik. Keberkatan terhebat atas rezeki yang diperoleh dijelaskan oleh Nabi Muhammad di dalam hadis yang dilaporkan oleh Imam Muslim, Abu Hurairah menyatakan Nabi Muhammad berkata:

"Apabila anak Adam meninggal dunia, terputuslah amalnya kecuali tiga perkara iaitu sedekah (amal) jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh yang mendoakannya (ibu bapanya).”

Di sini jelas rezeki yang diberkati membuatkan seseorang itu semakin hampir dengan Tuhan. Kesannya terbit rasa syukur yang mendalam dalam diri seseorang. Semakin banyak dia diberikan rezeki, semakin dia menjadi tawaduk dan bertambah rasa syukur di dadanya. Justeru, rasa syukur hanya terbit daripada rezeki yang berkat. Petunjuk rezeki yang diterima mendapat keberkatan adalah meningkatnya rasa syukur seseorang kepada Tuhan.

Sebaliknya, apabila seseorang itu mendapat semakin banyak kurniaan dan dia menjadi semakin jauh daripada Tuhan, itu tandanya apa yang diterimanya tidak berkat tetapi mendapat laknat. Apa yang diterima bukanlah rezeki tetapi hanya pemberian material yang membinasakan. Inilah yang ditegaskan Tuhan dalam surah al-Anam ayat 44 yang bermaksud:

"Kemudian apabila mereka melupakan apa yang diperingatkan mereka dengannya, kami bukakan kepada mereka pintu-pintu segala kemewahan dan kesenangan, sehingga apabila mereka bergembira dan bersukaria dengan segala nikmat yang diberikan kepada mereka, kami timpakan mereka secara mengejut (dengan bala bencana yang membinasakan), mereka pun berputus asa (daripada mendapat sebarang pertolongan)."

Ingatlah perolehan material yang dikecapi dengan cara maksiat ataupun secara haram tidak membawa hakikat manfaat yang sebenarnya. Ukuran manfaat yang hakiki adalah manfaat rahmat yang bakal diterima di akhirat kelak. Sangat malang apabila segala yang kita miliki di dunia ini hanya membawa kecelakaan di akhirat kelak seperti yang dijelaskan oleh Tuhan dalam surah Nuh ayat 21 yang bermaksud:

"Nuh berkata, "Wahai Tuhanku, sesungguhnya mereka menderhakaiku dan mengikuti orang-orang yang harta dan anak-anaknya tidak menambah kepadanya melainkan kerugian belaka."

 

Rezeki dan Kesyukuran

Selaku hamba Tuhan, kita diwajibkan bersyukur. Tidak kiralah sama ada seseorang itu miskin ataupun kaya, dia masih tetap perlu bersyukur kepada penciptanya.

Perkara ini jelas dalam pengertian Islam sebagai ad-din. Dalam bahasa Arab, perkataan din berasal daripada perkataan dyn iaitu hutang. Di sini, konteks berhutang wujud antara yang dicipta (manusia) dengan penciptanya. Hakikatnya, manusia sentiasa berada dalam keadaan berhutang dengan Tuhan atas penciptaannya dan limpah kurnia Tuhan kepada dirinya dalam bentuk rezeki yang diterima. Oleh itu, wajib supaya setiap hamba itu bersyukur kepada penciptanya sebagai salah satu cara membayar hutang walaupun kita tahu hutang ini tidak mampu dilangsaikan.

Nikmat yang banyak dikurniakan Tuhan kepada kita sewajarnya menjadikan kita hamba yang tahu bersyukur. Tuhan rnenyatakan dalam surah Ibrahim ayat 34, limpah kurnianya kepada manusia adalah tidak terhitung. Dalam ayat yang sama Tuhan menyatakan terdapat sebahagian manusia yang ingkar pada perintahnya. Mereka itu adalah golongan yang tidak tahu bersyukur. Ayat itu bermaksud:

"Dan dia memberi kepada kamu sebahagian daripada tiap-tiap apa jua yang kamu hajati. Dan apabila kamu menghitung nikmat Tuhan, lemahlah kamu menentukan bilangannya. Sesungguhnya manusia yang ingkar begitu suka menempatkan sesuatu bukan pada tempatnya dan amat tidak menghargai nikmat Tuhannya."

Sesungguhnya bersyukur itu adalah satu perintah daripada Tuhan kepada manusia. Logiknya, semakin banyak kita dikurniakan rezeki, sepatutnya bertambah banyak pula kita    bersyukur kepada Tuhan. Oleh itu, perintah bersyukur ini diberikan kepada keluarga Nabi Daud yang dikurniakan Tuhan rezeki yang melimpah-ruah.

Dalam surah Sabak ayat 13 Tuhan menjelaskan yang bermaksud:

"Golongan jin itu membuat untuk Nabi Sulaiman apa yang dia kehendaki daripada bangunan-bangunan yang tinggi, patung-patung dan pinggan-pinggan hidangan yang besar seperti kolam serta periuk-periuk besar yang tetap di atas tukunya. (Selepas itu kami perintahkan), "Beramallah kamu wahai keluarga Daud supaya bersyukur!” Dan sememangnya sedikit sekali di antara hamba-hambaku yang bersyukur.”

Pada hujung ayat di atas, turut diterangkan terdapat ramai manusia tidak tahu bersyukur kepada Tuhan. Kita perlu sedar Tuhan menyuruh kita bersyukur kerana ia memberikan kesan yang positif dalam hidup kita di dunia dan akhirat. Perintah ini adalah demi kebaikan kita sendiri. Mereka yang bersyukur sentiasa berasa cukup dengan apa yang dimilikinya. Lebih daripada itu, bersyukur itu sendiri mempunyai hubungan yang positif kepada perolehan rezeki.

Ringkasnya, semakin banyak kita bersyukur, bertambah pula limpah kurnia rezeki Tuhan kepada kita. Perkara ini dimaklumkan Tuhan dalam surah Ibrahim ayat 7 yang bermaksud:

"Dan (ingatlah) apabila Tuhan kamu memberitahu "Demi sesungguhnya! Sekiranya kamu bersyukur pasti aku tambah nikmatku kepada kamu, dan demi sesungguhnya, sekiranya kamu kufur dan ingkar sesungguhnya azabku amatlah keras."

Bagaimana Hendak Bersyukur?

Secara mudah, bersyukur bermaksud kita melahirkan rasa terima kasih kepada si pemberi. Hamba yang bersyukur adalah hamba yang sentiasa mentaati perintah Tuhan dan meninggalkan segala larangannya. Bersyukur dapat diluahkan melalui hati, perkataan dan perbuatan.

Hati yang bersyukur adalah hati yang sentiasa terdapat kebesaran Tuhan di dalamnya. Tidak ada kehebatan lain di dalamnya melainkan kehebatan Tuhan. Oleh itu, hati yang sentiasa bersyukur sentiasa meletakkan segala puji-pujian hanya kepada Tuhan. Kalimah alhamdulillah sentiasa terukir dan tersemat di hati orang yang bersyukur.

Syukur juga dapat dizahirkan dengan perkataan. Lidah yang bersyukur sentiasa memuji Tuhan, berzikir dan membaca Quran. Selain itu, hamba yang bersyukur juga menggunakan lidahnya demi kebaikan. Misalnya mengajarkan ilmu, memberikan nasihat dan menegah kemungkaran.

Melalui perbuatan pula bersyukur dizahirkan dengan melakukan perkara-perkara kebaikan dan meninggalkan perkara-perkara maksiat.

Oleh itu, setiap apa juga yang dikurniakan Tuhan, kita gunakannya dengan baik sama ada melalui niat di hati, percakapan di lidah ataupun perbuatan anggota badan, semuanya adalah manifestasi syukur kepada Tuhan. Begitu juga keadaannya apabila kita tidak menyalahgunakan hati, lidah dan anggota badan bagi melakukan kemaksiatan. Ia juga dianggap sebagai bersyukur.  

Syukur juga wujud apabila kita memanfaatkan rezeki pemberian Tuhan demi kebaikan diri dan orang lain. Misalnya, seorang yang berilmu dianggap bersyukur dengan ilmunya apabila dia mengajarkan ilmu itu kepada orang lain selain dia sendiri mendapat kebaikan daripada ilmu itu.

Begitu juga dengan orang yang berharta. Bersyukur dengan harta adalah dengan menggunakan harta bagi tujuan yang baik, bukan bagi perkara-perkara maksiat. Membelanjakan harta pada jalan Tuhan dengan memberikan nafkah kepada keluarga, berzakat dan bersedekah serta menggunakan harta bagi perkara-perkara yang produktif adalah antara contoh-contoh tanda kesyukuran hamba atas harta yang dimilikinya.

Buku ini khususnya menghuraikan kaedah menguruskan kekayaan dan kewangan daripada perspektif Islam supaya kita dapat menggunakan kelebihan rezeki ini dengan baik dan penuh kesyukuran. Semoga kita bersama-sama mendapat manfaat dengan membacanya.

"Dan sesungguhnya kami memuliakan anak-anak Adam dan kami beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut Kami memberikan rezeki kepada mereka daripada benda-benda yang baik-baik serta kami lebihkan rnereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-rnakhluk yang kami ciptakan." - Al-Israk ayat 70


Sumber: Dipetik dari buku "Hidup Kaya Tanpa Riba" oleh Mohd Nahar Mohd Arshad, 2007

TOP