×

DAPATKAN SUPPORT KAMI MELALUI:

1Tel: 03-5523 2354.
2SMS/WhatsApp: 011-6487 8701.
3Emel: support@bijakwang.my

Jika anda masih menghadapi masalah, sila tinggalkan pesanan melalui BORANG MAKLUMBALAS di sini. Terima kasih.

WAKTU URUSAN PEJABAT

Isnin-Jumaat 9:00AM - 5:00PM
Sabtu & Ahad - Lihat Jadual Aktiviti - Sila KLIK!

FORGOT YOUR DETAILS?

CREATE ACCOUNT

BLOG i-LEARN ACE

Definisi ‘e-learning’ ini seringkali berubah-ubah selaras dengan kemajuan teknologi pada masa kini.  Ia juga seringkali disalah tafsirkan dalam iklan-iklan promosi pendidikan.  Bagaimanapun secara umumnya, ‘e-learning’ adalah sebarang pengajaran dan pembelajaran yang menggunakan rangkaian elektronik (LAN, WAN atau Internet) untuk penyampaian isi kandungan, interaksi ataupun pemudahcaraan.  Internet, Intranet, satelit, tape audio/video, TV interaktif  dan CD-ROM adalah sebahagian dari media elektronik yang dimaksudkan di dalam kategori ini.  Pengajaran boleh disampaikan secara ‘synchronously’ (pada waktu yang sama) ataupun ‘asynchronously’ (pada waktu yang berbeza).  Bahan pengajaran dan pembelajaran yang disampaikan melalui media ini mempunyai teks, grafik, animasi, simulasi, audio dan video.   Ia juga harus menyediakan kemudahan untuk ‘discussion group’ dan bantuan profesional isi pelajaran secara dalam talian (‘on-line’). (Learnframe, 2001).

Bagaimanapun fokus kertas ini hanya kepada bahan pengajaran dan pembelajaran ‘e-learning’ yang boleh disampaikan melalui Internet, Intranet atau CD-ROM yang mempunyai ciri-ciri multimedia (teks, grafik, animasi, simulasi, audio dan video) dan mempunyai kemudahan untuk ‘discussion group’ serta membolehkan bimbingan dijalankan dalam talian (‘on-line’).

Apakah perbezaan antara pembelajaran tradisional dan ‘e-learning’?

Di dalam sebarang bentuk pembelajaran, kejayaannya banyak bergantung kepada usaha guru dan juga pelajar. Bagaimana pun untuk tujuan perbandingan diberikan perbezaan antara pembelajaran ‘tradisional’ dan ‘e-learning’. Di dalam kelas ‘tradisional’, guru dianggap sebagai pendita di atas pentas. Guru dianggap sebagai orang yang serba tahu dan ditugaskan untuk menyalurkan ilmu pengetahuan beliau kepada pelajarnya.  Sebarang perancangan pada kebiasaannya adalah berpusatkan guru.

Di dalam pembelajaran ‘e-learning’ fokus utamanya adalah pelajar. Pelajar perlu berdikari pada masa-masa tertentu dan bertanggung-jawab untuk pembelajarannya. Suasana pembelajaran ‘e-learning’ akan ‘memaksa’ pelajar memainkan peranan yang lebih aktif dalam pembelajarannya. Pelajar membuat perancangan dan mencari bahan atau maklumat dengan daya usaha, dan inisiatif sendiri.

 Kenapakah ‘e-learning’ perlu digunakan di sekolah-sekolah di Malaysia? 

‘E-learning’ membolehkan pembelajaran kendiri dilaksanakan dengan lebih berkesan. Pelajar boleh memilih masa, kandungan serta hala tuju pembelajaran mereka. Pelajar juga berpeluang belajar tajuk yang susah berulang kali sehingga pemahaman dicapai. Mereka juga dapat belajar di dalam suasana yang ‘selamat’ tanpa merasa malu untuk bertanya. Pertanyaan juga boleh dibuat di dalam talian. Perbincangan kumpulan yang lebih terancang dan teratur juga boleh dicapai dengan menggunakan teknologi yang sedia ada. ‘E-learning’ yang diuruskan dengan baik dapat menyimpan rekod pembelajaran yang berkesan dan sistematik untuk rujukan pelajar dan juga untuk guru, mentor atau fasilitator.

Bahan pengajaran dan pembelajaran ‘e-learning’ yang dirancang dan disediakan secara profesional dan baik akan menggunakan ciri-ciri multimedia untuk menyampaikan isi pelajaran dengan berkesan dan menarik. Segelintir pelajar-pelajar sekolah di Malaysia sudah mula menggunakan Internet sebagai sumber maklumat yang penting. Mereka juga sudah didedahkan kepada bahan ‘e-learning’ yang ada di pasaran tempatan. Ada juga pelajar yang sudah mula mencari penyelesaian kepada masalah yang dihadapi oleh mereka melalui rakan sebaya di dalam ‘chat groups’ atau ‘bulletin boards’. (Alam Pendidikan Bulletin Board, 2001;  Tan, 2001).

Dengan ciri-ciri menarik yang ada pada ‘e-learning’ serta minat pelajar terhadap fungsi-fungsi di dalam Internet, maka sudah tiba masanya ianya digunakan dengan meluas untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran. Tambahan pula kejayaan agenda ‘e-learning’ kebangsaan banyak bergantung kepada pelaksanaan ICT di sekolah. Jika pelajar dapat dibimbing untuk menggunakan ‘e-learning’ dengan cara yang berfaedah maka ianya akan membantu mengurangkan penggunaan negatif yang lain.

Banyak pihak sedang berusaha untuk menghasilkan bahan pengajaran dan pembelajaran ‘e-learning’. Penilaian yang rapi perlu dilaksanakan oleh pentadbir atau guru untuk mencari bahan yang sesuai yang dapat meningkatkan pembelajaran pelajar.

Dalam menilai bahan pengajaran dan pembelajaran ‘e-learning’, beberapa faktor perlu dipertimbangkan. Ada empat soalan penting yang perlu ditanya sewaktu memilih atau menilai bahan ‘e-learning’ yang ada di pasaran.  Empat soalan yang perlu diberi penekanan dalam penilaian bahan ‘e-learning’ adalah:

  • Adakah ianya mematuhi ciri-ciri bahan pembelajaran berpusatkan komputer?
  • Adakah ‘screen design issues’ telah diambil kira?
  • Adakah kaedah penyampaian bahan ‘e-learning’ berkesan?
  • Adakah kos bahan ‘e-learning’ berpatutan?

Ciri-ciri bahan pembelajaran berpusatkan komputer

Laurillard (1991: 148) menyatakan bahawa sebarang bahan pembelajaran kendiri berpusatkan komputer mestilah mempunyai ciri-ciri berikut:

  • Ia ada informasi atau maklumat (baru)
  • Ia menyatakan objektif pembelajaran dengan jelas.
  • Ia ada integrasi antara isi baru dengan isi pelajaran lepas.
  • Pelajar dapat menunjukkan kefahahaman mereka melalui latihan dalam talian.
  • Ada maklumbalas (serta merta ataupun ‘delayed’’) terhadap penilaian yang dilakukan.

‘Screen design issues’

‘Screen design issues’ perlu dipertimbangkan kerana ianya membantu meningkatkan tahap pembelajaran pelajar.  Clarke (1992:78) menyatakan bahawa pelajar membaca 20% hingga 30% lebih perlahan di atas skrin daripada di atas kertas. Teks yang diberikan sebagai ‘left justified’ dengan ‘ragged right edge’ membolehkan bacaan yang lebih mudah. Ayat mestilah ringkas dan padat  (lapan hingga sepuluh perkataan). Clarke (1992:79) juga mencadangkan bahawa warna yang sesuai membantu di dalam mengingat dan menghafal infomasi.

Phillips (1997:79) mencadangkan bahawa kebanyakan orang telah dilatih untukmembaca bermula dari sudut atas di sebelah kiri dan bergerak ke sudut kanan di sebelah bawah. Maka maklumat penting mesti ditunjukkan di bahagian atas skrin manakala maklumat kurang penting di bahagian bawah.

Kaedah penyampaian

Kaedah penyampaian juga harus dirancang dengan baik supaya pedagogi yang asas tidak dilupakan. Ciri-ciri multimedia seperti audio, video, animasi, grafik dan simulasi harus digunakan dengan bijak untuk meningkatkan pembelajaran.

Kos bahan

Akhir sekali, kos bahan berkenaan haruslah setimpal dengan kandungan kualiti dan kuantiti isi pelajarannya. Empat aspek utama di atas perlu dipertimbangkan supaya bahan ‘e-learning’ yang digunakan oleh pelajar adalah efektif dan berkesan.

Cabaran dalam melaksanakan ‘e-learning’

Akses kepada ICT merupakan masalah utama di Malaysia.  83% masyarakat di kawasan luar bandar dan 60% di kawasan bandar mendapati akses kepada ICT adalah terlalu mahal.  Dari 1.5 juta  rakyat Malaysia yang mengunakan Internet, 50% berada di Selangor dan Wilayah Persekutuan.   Ini mewujudkan jurang digital yang ketara di dalam masyarakat Malaysia (Education Quarterly: 35, 2001). Kekurangan bahan pengajaran dan pembelajaran di dalam Bahasa Melayu juga agak merisaukan.  Manakala Bahasa Inggeris digunakan di hampir 80%  laman web (Media Asia, 176, 1999). Tiada akses kepada Internet serta talian akses yang perlahan merupakan cabaran yang dirasai di sekolah-sekolah tertentu.  Begitu juga sekolah yang tidak mempunyai komputer (kecuali untuk urusan pentadbiran) atau kuasa elektrik memberikan cabaran yang hebat dalam pelaksanaan ‘e-learning’.

Adakah ‘e-learning’ hanya dapat dilaksanakan di semua sekolah di Malaysia selepas semua cabaran di atas diatasi?  Adakah pelajar akan didedahkan kepada ‘e-learning’ hanya selepas infrastruktur telekomunikasi, perkakasan dan perisian siap sepenuhnya?

“Kerajaan akan menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat melalui penggunaan ICT seperti pembelajaran jarak jauh.  Aplikasi Perdana Koridor Raya Multimedia (MSC) gelombang pertama akan diperluaskan ke seluruh negara dalam tempoh Rancangan Malaysia Kelapan setelah Kerajaan menentukan keberkesanan pelaksanaannya. Konsep sekolah bestari akan diperluaskan untuk merangkumi 8,000 sekolah. Agenda masa depan melibatkan pelaksanaan aplikasi perdana gelombang kedua yang akan memberi tumpuan kepada usaha menarik pemaju teknologi tercanggih dan terkini serta menggalakkan aktiviti R&D dan pemindahan teknologi. Infrastruktur asas ICT telahpun disediakan dalam tempoh Rancangan Malaysia Ketujuh.

Untuk lima tahun akan datang, tumpuan kita adalah untuk menjadikan Malaysia sebagai “hub” ICT dan multimedia di peringkat global. Untuk tujuan ini, infrastruktur ICT akan dinaik taraf melalui beberapa inisiatif termasuk meningkatkan keupayaan tulang belakang penghantaran sehingga 10 gigabits sesaat dan memperkenalkan Sistem Pengurusan Rangkaian untuk menyediakan perkhidmatan yang lebih baik.  Infrastruktur ICT juga akan diperluaskan ke kawasan luar bandar bagi merapatkan jurang digital. Antara program yang akan dilaksanakan termasuk Infodesa dan Internet Desa yang menawarkan kursus kesedaran dan latihan.” Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri, usul mengenai rancangan Malaysia kelapan yang dibentangkan di Dewan rakyat pada 23 April 2001.

Beberapa model dicadangkan untuk pelaksanaan ‘e-learning’ di sekolah-sekolah.  Model yang dicadangkan terdiri daripada:

  • ‘Selective Model’
  • ‘Sequential Model’
  • ‘Static Station Model’
  • ‘Laboratory Model’

‘Selective Model’

Jika bilangan komputer di sekolah adalah sangat terhad maka model ini sesuai digunakan. Di dalam model ini, guru terpaksa memilih salah satu alat yang paling berkesan untuk menyampaikan pelajaran beliau. Jika guru dapat atau terjumpa bahan ‘e-learning’ yang berkualiti maka ianya hanya dapat ditunjukkan kepada pelajar sebagai bahan demostrasi sahaja. Jika ada lebih dari satu komputer, maka pelajar harus diberi peluang untuk mendapat sedikit pengalaman ‘hands-on’. Kelas di mana pengajaran dilaksanakan tidak semestinya bilik darjah tetapi boleh juga di bilik simulasi, bilik sumber atau bilik khas lain yang ada komputer.

‘Sequential Model’

Jika bilangan komputer di sekolah adalah kecil maka model ini sesuai digunakan. Pelajar dalam kumpulan kecil bergerak dari satu set sumber maklumat ke sumber yang lain. Pelajar menggunakan bahan ‘e-learning’ sebagai bahan rujukan atau untuk mencari maklumat baru. Jika ada beberapa komputer, maka pelajar harus diberi peluang untuk mendapat pengalaman ‘hands-on’.

‘Static Station Model’

Jika bilangan komputer di sekolah adalah kecil maka model ini sesuai digunakan. Di dalam model ini, guru mempunyai beberapa sumber berbeza untuk mencapai objektif pengajaran yang sama. Bahan ‘e-learning’ digunakan oleh satu atau dua kumpulan pelajar untuk mencapai objektif pelajaran berkenaan. Kumpulan pelajar yang lain menggunakan sumber yang lain untuk mencapai objektif pelajaran yang sama.

‘Laboratory Model’

Jika bilangan komputer mencukupi untuk semua pelajar, maka bahan ‘e-learning’ dapat digunakan oleh pelajar sebagai bahan pembelajaran kendiri. Model ini dapat digunakan jika sekolah mempunyai makmal komputer yang dilengkapi dengan talian Internet.

Setiap model yang diberikan di atas mempunyai kekuatan dan kelemahan masing-masing. Pemilihannya bergantung kepada infrastruktur telekomunikasi dan perkakasan yang sedia ada di sekolah. Sedikit kelonggaran dan kepercayaan perlu diberikan kepada pelajar untuk bergerak ke bilik yang ada komputer (termasuk Internet) dari masa ke semasa jika diperlukan. Bagaimanapun usaha perlu diambil untuk mengatasi sebarang cabaran yang dihadapi.

 Sumber bahan pengajaran dan pembelajaran ‘e-learning’

Ada beberapa sumber di mana bahan ‘e-learning’ boleh diperolehi untuk digunakan di dalam bilik darjah.  Beberapa sumber telah dikenalpasti iaitu:

  • Bahan percuma ‘e-learning’ dari Internet.

Banyak bahan ‘e-learning’ yang berkualiti tetapi diberikan secara percuma boleh diperolehi dari Internet.  Bahan-bahan seperti kuiz ‘grammar’ bagi matapelajaran Bahasa Inggeris banyak terdapat di  Dave Sperling’s ESL Café (http://www.pacificnet.net/~sperling/quiz).  Pelajar yang menjawab soalan-soalan kuiz berkenaan akan mendapat maklum balas serta-merta dari laman web ini mengenai kesalahan yang mereka lakukan dengan sedikit penjelasan kenapa jawapan yang dipilih itu salah.  Jawapan sebenarnya juga dipaparkan.

Di laman web http://motown.gsfc.nasa.gov/global.select/ gambar bumi dari satelit dapat dilihat.  Pengguna dapat ‘memusing’ bumi untuk melihat gambar dari sudut yang berlainan.  Ini sudah pasti akan menarik minat pelajar alam bidang sains jika mereka berpeluang melihat bahan berkenaan.

  • Bahan yang dihasilkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dengan kerjasama konsortium tempatan.

Bahan ‘e-learning’ yang berkualiti tinggi bagi matapelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains sedang dihasilkan di bawah Projek Rintis Sekolah Bestari. Buat masa ini penggunaannya terhad di sekolah-sekolah projek rintis sahaja.

  • Bahan yang dihasilkan oleh sektor swasta.

Pihak swasta berlumba-lumba untuk menghasilkan bahan ‘e-learning’ bagi pasaran tempatan. Ada yang mengenakan yuran pendaftaran untuk akses kepada bahan sumber berkenaan. Ada juga modul yang diberikan secara percuma. Beberapa contoh diberikan dalam Lampiran 2.

  • CD-ROM yang dihasilkan oleh Bahagian Teknologi Pendidikan, Pusat Sumber Pendidikan Negeri,  Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri dan Pusat Kegiatan Guru.

CD-ROM multimedia interaktif yang ada ciri-ciri ‘e-learning’ dapat  meningkatkan pemahaman pelajar.

Jika sekolah-sekolah ada komputer dan talian Internet, maka bahan-bahan ‘e-learning’ dapat digunakan dengan efektif dan efisien sekali. Bagi sekolah-sekolah ada talian komputer tetapi tiada talian Internet, maka bahan-bahan ‘e-learning’ perlu dicari dan di ‘download’ di tempat lain terlebih dahulu, misalnya di Pusat Kegiatan Guru (PKG).  Kebanyakkan PKG sudah pun mempunyai talian Internet. Tanpa talian Internet,  CD-ROM merupakan alternatif terdekat untuk menjayakan ‘e-learning’.

Seterusnya bagi sekolah-sekolah yang tiada kemudahan komputer, maka bahan ‘e-learning’ perlu diperkenalkan dengan cara lain kepada pelajar.   Sumber-sumber lain seperti TV boleh digunakan untuk mendedahkan pelajar kepada ‘e-learning’.  Bahan-bahan yang dicetak dari Internet di PKG atau di tempat lain (cybercafe) boleh digunakan sebagai bahan rujukan pelajar atau latihan di dalam bilik darjah.

Media Sosial 

Kini kita berada di dalam sistem pelajaran era globalisasi. Sebagai menyahut Dasar Pelajaran Kebangsaan (1979) dan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2015 – 2025), beberapa elemen penting perlu lebih digarap bagi menyempurnakan peluang sedia ada kepada pelajar. Beberapa aspek perlu dikenalpasti agar pelajar, guru & masyarakat bergerak seiring dengan perubahan sistem pembelajaran. Platform media sosial yang dibangunkan begitu pantas. Dunia menyaksikan kemunculan pelbagai aplikasi pengajaran dan pembelajaran.

Beberapa buah organisasi dan institusi kerajaan ditubuhkan bagi membangun, menyediakan dan menyalurkan maklumat dan aplikasi seiringan dengan dunia digital. Antaranya:

  1. MDEC atau Malaysia Digital Economy Corporation ditubuhkan bagi mewujudkan persefahaman dan kerjasama antara syarikat berteknologi tinggi bertaraf dunia dengan syarikat berlatarbelakang ICT tempatan.
  2. MSC atau Multimedia Super Corridor ialah kawasan khas zon ekonomi dan landasan perniagaan berteknologi tinggi di Malaysia.
  3. ISIS atau Institute of Strategic & International Studies Malaysia ialah organisasi penyelidikan yang menfokuskan isu ekonomi, polisi luar negara, keselamatan, pembangunan negara, polisi sosial, inovasi, teknologi dan alam sekitar.
  4. PPK atau Pusat Perkembangan Kurikulum merupakan satu bahagian di bawah sektor Dasar dan Pembangunan Pendidikan, Kementerian Pelajaran Malaysia. Ia bertanggungjawab memperbaiki mutu dan taraf pendidikan melalui penggubalan dan pembangunan kurikulum semua sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan di peringkat prasekolah, rendah dan menengah serta peringkat pengajian tinggi.Berikut adalah senarai beberapa buah syarikat ICT dan multimedia produktif dalam dan luar negara yang diwujudkan untuk menyokong sistem pembelajaran dan pendidikan secara berterusan bagi keperluan semua pengguna di seluruh dunia

SYARIKAT TELEKOMUNIKASI DI MALAYSIA DAN EKOSISTEM PEMBELAJARAN DIGITAL

Umumnya, teknik pengajaran secara maya melalui pendekatan 3 Dimensi atau lebih dapat menjadikan suasana dan ekosistem pembelajaran dan pengajaran konsisten, ceria dan bermaklumat.

Kini beberapa buah sekolah seperti Sekolah Bestari dan Sekolah Berprestasi Tinggi telah menggunakan kaedah pembelajaran secara maya. Guru dan pelajar dibekalkan dengan alat bantuan mengajar dan belajar seperti komputer, tablet, modem, projektor, pot wifi, kabel, 3 pin plug dan suis di dalam sebuah makmal komputer.

CIRI-CIRI PRODUK YANG MEMBANTU PEMBELAJARAN SECARA MAYA

Beberapa buah syarikat telekomunikasi memperkenalkan produk dan perkhidmatan baru, ia dilihat sejajar dengan keperluan individu masakini. Beberapa buah syarikat seperti Digi Sdn Bhd contohnya telah memperkenalkan beberapa perisian baru seperti:

  • HD Video Streaming atau persembahan video secara live dengan kuasa definasi tinggi (HD)
  • Smoother Music Streaming atau persembahan muzik secara live
  • Faster Web Surfing atau melayari laman-laman sesawang dengan lebih cepat
  • 4G LTE Network atau pelayaran dengan kuasa 4G kelajuan Jalur Lebar
  • Menawarkan kos perkhidmatan serendah RM8 untuk 1 GB

Beberapa buah syarikat telekomunikasi lain turut menawarkan keistimewaan masing-masing. Digi Sdn Bhd, Maxis Berhad dan Celcom Axiata Berhad contohnya telah membantu beberapa buah sekolah menubuhkan makmal komputer. Syarikat ini telah melancarkan jaringan jalur lebar bagi menyalurkan maklumat dan membangunkan sistem komunikasi di semua sekolah termasuk di kawasan pedalaman di seluruh negara dan institusi-institusi pengajian tinggi di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Atas insentif kerajaan, perlaksanaan pembangunan ICT di semua sekolah dan institusi pengajian tinggi diusahakan. Melalui Program Lonjakan Perdana Pendidikan di Luar Bandar dan peruntukan tambahan dikeluarkan di beberapa buah sekolah di Sabah pada tahun 2000, banyak sekolah merasai manfaatnya. Kini, semua sekolah dan sekolah asrama di Sabah dan Sarawak mempunyai makmal komputer, makmal sains dan tidak perlu menumpang di sekolah lain.

Beberapa jenis perkakasan komputer menjadi kegemaran pelajar sewaktu sesi pembelajaran. Komputer jenis riba, Laptop dan perisian E Learning atau Online Learning menjadi pilihan guru dan pelajar. Ciri-ciri yang ada pada perkakasan dan perisian yang interaktif dengan hubungan spontan antara faktor mengapa pelajar lebih memilih kaedah ini daripada membaca buku teks. Kajian mendapati bahawa, pengajaran guru akan lebih efisyen dengan bantuan pembelajaran yang lebih berinformasi, maklumat disertai contoh pelbagai jenis laman web, guru yang berkongsi pengalaman dan pengetahuan di dalam internet, realiti semasa seperti berita daripada media sosial, menghantar emel, menyertai forum secara online, menonton video secara online serta dibekalkan dengan bank soalan berbentuk aplikasi dan set oleh beberapa perisian pembelajaran yang menawarkan perkhidmatan secara open source. 

Rajah diatas menunjukkan rangkaian perhubungan komputer, perkakasan dan perisian di dalam internet yang membolehkan aplikasi pembelajaran dibangunkan melalui dunia digital. Ia dijangka dapat membangunkan sistem yang lebih pragmatik di sekolah dan institusi pengajian tinggi.

Rajah di atas adalah di antara beberapa buah syarikat telekomunikasi di Malaysia yang menyediakan platform multimedia kepada sistem dan aplikasi pembelajaran berterusan. Gabungan di antara teknologi komunikasi, internet dan multimedia syarikat ini dengan sistem pembelajaran yang ada boleh menghasilkan kurikulum digital, aplikasi, peranti, masa berbual dan teknologi untuk kegunaan sebuah bilik darjah berteknologi tinggi.

Inovasi mula mengorak langkah. Seiring dengan perkembangan digital, pelajar-pelajar lemah pembelajaran atau Learning Disabilitiy dapat dibantu. Pembelajaran dan pengajaran akan lebih efektif apabila pendekatan diterapkan mengambilkira elemen-elemen seperti:

Mengenalpasti keupayaan fizikal dan mental pelajar atau individu

Pelajar perlu diukur tahap mental dan fizikal serta sahsiah. Untuk menjamin keseragaman hasil dan keputusan sepanjang proses pembelajaran, guru, ibu bapa, masyarakat, pembuat dasar dan pembina kurikulum, pemimpin pihak berkepentingan perlu merangka strategi dan tindakan agar pelajar tidak menghadapi masalah. Setiap individu memiliki tahap IQ (Intelligent Quotion) dan EQ(Emotion Quoation) yang berbeza-beza. Justeru, aplikasi dan produk pembelajaran perlu mempunyai ciri-ciri khas dan tambahan. Ianya penting sekiranya sepanjang proses pembelajaran, guru bakal berhadapan dengan pelajar yang lemah di dalam pembelajaran dan pengajaran yang lebih dikenali sebagai disability learners. Terdapat beberapa kategori pelajar yang lemah pembelajaran yang boleh mendapat manfaat daripada transformasi pendidikan dan pembelajaran, antaranya:

  • Attentive Deficit Hyperactive Disorder – pelajar yang mempunyai tahap keaktifan luar biasa seringkala gagal memberi tumpuan terhadap sesuatu perkara
  • Attention Deficit Disorder – pelajar yang aktif namun ianya tidak membantu di dalam penfokusan dan perhatian
  • Dyslexia – pelajar yang mengalami masalah di dalam 3M, iaitu keupayaan mengira, menulis dan membaca
  • Autism - pelajar yang mengalami masalah mental dan gangguan pada saraf otak, walaupun cukup sifat dan anggota, pelajar ini dikesan kurang berkomunikasi, bertutur dan berinteraksi dengan persekitaran.
  • Dysgraphia – pelajar yang mengalami gangguan di dalam memproses rajah, animasi dan lukisan abstrak
  • Dyscalculia – pelajar ini dikenalpasti tidak berupaya mengira, mengenali dan mentafsir nombor dan digit
  • Dyspraxia - pelajar yang mengidap kecelaruan di dalam menjana sistem dan koordinasi motor hingga boleh menjejaskan pertuturan.

Antara contoh seorang Dyslexia atau pengidap Dileksia yang terkenal ialah seorang penulis terkenal, Agatha Christie yang dilahirkan pada 15 September 1890 dan meninggal pada 12 Januari 1976. Walaupun menghadapi masalah dalam pembelajaran, namun ini tidak menghalang beliau untuk menjadi kreatif dan belajar untuk menulis. Hasilnya, beliau telah berjaya menulis pelbagai buku misteri yang terjual sehingga 4 billion naskah di seluruh dunia. Malah tulisan-tulisan beliau itu telah menjadi sumber ilham ramai penulis muda di seluruh dunia. Kini ianya juga boleh diakses secara digital melalui perpustakaan digital di beberapa platform media, penerbitan dan perpustakaan elektronik dan digital. Dunia digital kini dikenalpasti mampu membentuk masa depan yang cerah bagi seorang pelajar yang lemah di dalam pembelajaran seperti Agatha Christie.

Australia juga telah memperkenalkan kurikulum baru di dalam sistem pembelajaran bagi mata pelajaran Matematik di sekolah-sekolah. Pelajar dan guru telah dibekalkan dengan laman sesawang yang dikenali sebagai Maths Online. Di laman ini, pelajar dan guru akan dapat belajar matematik secara maya dengan bantuan animasi, soalan interaktif, bank soalan dan mendapat akses kepada laporan prestasi pelajar secara maya.

Di Malaysia, sebuah syarikat E Learning tempatan iaitu Creative Dreams International telah juga mengorak langkah membantu sekolah-sekolah dan pra sekolah. Mereka telah membangunkan aplikasi pembelajaran secara maya dan kini telah mempunyai cawangan di India dan Indonesia. Creative Dreams telah memperkenalkan dua produk dan aplikasi pembelajaran iaitu Focus A khusus untuk pelajar-pelajar daripada Tahun 1 hingga Tingkatan 5 manakala Roony and Pals bagi pelajar-pelajar Prasekolah.

Mengenalpasti rekaan pembelajaran secara maya

Setelah kelemahan pelajar dikesan, pereka bentuk dengan gabungan pendidik, penyelidik, perekacipta, jurutera, jurubina, kontraktor, jurutera runding, dan juruaudit perlu menyediakan beberapa langkah bagi menghasilkan produk dan aplikasi pembelajaran. Teknologi kini dapat membantu ramai pelajar lemah pembelajaran untuk melanjutkan pelajaran. Sebuah produk yang dikenali sebagai Speech Recognition telah direka oleh sekumpulan saintis dan jurutera di Amerika untuk mengatasi masalah pelajar orang kurang upaya, lemah pembelajaran, dan warga emas serta pesakit yang tidak boleh menulis dan membaca namun dapat mendengar. Melalui produk ini, pelajar Autisma contohnya berupaya berhubung dengan guru, doktor dan ahli keluarga dengan selesa dan mudah daripada rumah.

Alat Bantu Mengajar

Kini pelajar dan guru tidak mempunyai alasan untuk mewujudkan suasana belajar yang kondusif, ceria dan berkesan. Bagi mendapatkan input yang lebih baik, pelajar Autisma dan Dileksia boleh meneruskan pembelajaran dengan menggunakan Tablet di dalam kelas atau di rumah. Tablet jenama SmartTech keluaran teknologi saintis Amerika telah direka khas dengan ciri-ciri aplikasi seperti menyimpan data penilaian dan hasil kerja pelajar, berkongsi pelan mengajar dan silibus dengan guru-guru lain, mengesan aktiviti pelajar khas, menaik dan memuat turun data, animasi dan grafik serta meningkatkan kemahiran aplikasi.

Platform Media

Organisasi seperti Google.Com, Facebook.Com dan Yahoo.Com manakala Geocities yang wujud berdekad lalu, telah menyediakan perkhidmatan pencarian, pengiklanan, perisian teknologi serta pengkomputeran awan. Syarikat-syarikat ini berpengkalan di Amerika dan kini mempunyai cawangan di Malaysia dan beberapa buah negara di Asia. Sumber yang terkandung di dalam perkhidmatan syarikat ini telah digunapakai oleh jutaan pengguna internet. Tanpa platform daripada syarikat-syarikat ini, kita tidak mungkin akan mengenali dunia digital dan internet.

Mengenalpasti falsafah dan hala tujuan pendidikan

Dasar Pendidikan Kebangsaan telah maju setapak seiring dengan dasar pendidikan negara-negara maju. Ini dapat dilihat apabila kanak-kanak istimewa dan lemah pembelajaran diberi peluang untuk melanjutkan pelajaran.

  • Pada 2001 mantan Presiden Amerika, George Bush telah meluluskan undangundang dan akta pelajaran khusus bagi pelajar-pelajar istimewa mendapat pendidikan seperti mana pelajar normal. Beliau telah menggesa rakan-rakan kongres di dalam kerajaan beliau untuk melibatkan masyarakat, ibu bapa, usahawan, ahli akademik, teknokrat dan profesional untuk membangunkan sistem pembelajaran berterusan. Kerajaan di bawah pimpinan Bush telah mewujudkan satu jabatan dan kementerian baru iaitu Special Needs Children Department.
  • Jumlah pelajar lemah pembelajaran atau Disability Learners semakin meningkat. Sejajar dengan dasar globalisasi, anjakan paradigma negara-negara maju menjadi perangsang dan pencetus. 10 buah negara yang tersenarai di dalam negara memiliki sistem pendidikan terbaik dunia seperti, Jepun, Singapura, Korea Selatan, Ireland, Finland, Estonia, Switzerland, Poland, Belanda dan Kanada telah memberi inspirasi kepada Dasar Pendidikan Kebangsaan untuk menggubal sistem pendidikan berterusan kepada kanak-kanak istimewa.
  • Di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia, Akta Pendidikan 1996 telah digubal bagi membantu pelajar-pelajar istimewa. Satu program pemulihan khas iaitu Program Linus dibentuk bagi mensasarkan 100% menguasai kemahiran literasi dan numerasi kepada pelajar Tahun 3 meneruskan pembelajaran ke Tahun 4. Sepanjang proses pembelajaran berlaku, pelajar-pelajar istimewa dan lemah pembelajaran atau disability learners turut dibantu. Sebuah Jabatan iaitu Jabatan Pendidikan Khas ditubuhkan untuk memberi pelajar-pelajar istimewa, kurang upaya, kecacatan mental dan fizikal, lemah pembelajaran, gangguan emosi dan tingkah laku, gangguan komunikasi, hilang pendengaran dan penglihatan serta golongan pintar cerdas. Pada 1999 dan 2000, Sekolah Teknik dan Vokasional ditubuhkan bagi memberi peluang pembelajaran berterusan kepada golongan ini. Melalui Akta 1996, guru dan pengubahsuaian kurikulum mencipta kaedah dan teknik pengajaran atau P&P agar bersesuaian dengan kehendak pelajar.

Mengenalpasti garis panduan & amalan baik pembelajaran berterusan

Melalui sokongan Kementerian Sumber Manusia, pelajar akan dapat merancang dan mencari haluan serta membina masa depan. Peluang pekerjaan dapat dikenalpasti melalui beberapa kempen kerjaya dijalankan. Kini bakal pekerja bukan sahaja berdepan dengan isu teknikal malah akan menempuh dunia revolusi dan anjakan paradigma di dalam sektor komunikasi dan hubungan sosial. Kini syarikat-syarikat abad 21 berlumba-lumba mengejar keuntungan dan mengadaptasi peluang yang ditawarkan oleh dunia digital. Antara elemen yang dapat membantu pelajar menyesuaikan diri apabila bekerja ialah dengan memiliki kemahiran di dalam :

  • Saluran komunikasi yang boleh digunakan secara selaras
  • Fleksibiliti di dalam setiap aktiviti dijalankan
  • Pengurusan diri, masa, sumber dan peralatan
  • Mengaitkan kehidupan peribadi dan profesional
  • Teknologi yang boleh digunapakai secara informal 16
  • Pekerja gemar menggunakan maklumat yang menarik dan berdaya saing
  • Keupayaan berhijrah dan melakukan perubahan dari masa ke semasa

Justeru, dengan aspek-aspek di atas, pelajar akan lebih tahu dan bijak di dalam menggunakan ICT dan dunia digital sebagai landasan dan persediaan untuk belajar dan meningkatkan kemahiran secara berterusan.

TOP
>